KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat mana-mana pihak yang mencampuri atau menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengaitkan nama Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kes di mahkamah.

Menurut Setiausaha Sulit kepada Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli, 35, laporan polis juga telah dibuat bagi membersihkan nama ketua pembangkang tersebut.

"Tujuan utama laporan polis ini bagi menggesa mana-mana pihak yang mencampuri atau menekan SPRM atau badan kerajaan untuk mengait dan mencemarkan nama baik Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertuduhan yang telah disebut di mahkamah pada hari Rabu lepas.

"Laporan polis dibuat untuk bersihkan nama Datuk Seri Hamzah dari sebarang tindak tanduk yang tidak berlaku langsung," jelasnya ketika ditemui media di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di ibu negara pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mempersoal tindakan mengaitkan nama Hamzah dalam kes yang telah dituduh di mahkamah.

"Isu sebenar, mengapa SPRM sekali lagi menggunakan kuasa mereka mengaitkan individu dan pimpinan Bersatu yang tidak ada kena mengena dengan pendakwaan dibuat ke atas seorang usahawan tersebut.

"Sedangkan pendakwaan dibuat di mahkamah, kami difahamkan kelmarin baru SPRM ambil keterangan Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Dakwa dah, baru nak ambil keterangan, ini apa cerita?

"Jadi kami nampak tak lain tak bukan,semua  pertuduhan dan pendakwaan ini adalah satu political assassination yang dibuat ke atas kepimpinan Bersatu kerana kepimpinan Anwar Ibrahim takut tumbang dan kalah teruk di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang," katanya.

Dakwa Wan Ahmad Fayhsal, kepimpinan tertinggi Bersatu menjadi sasaran pihak tertentu, meskipun beliau yakin kepimpinan parti itu tidak terkait dengan mana-mana salah guna kuasa.

"Sebab itu mereka menyasarkan kepimpinan tertinggi Bersatu khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Kami tidak takut dan gentar, kerana kami yakin kepimpinan Bersatu bersih dari sebarang hal-hal salah guna kuasa dan pecah amanah," katanya lagi.